Tuesday, 13 September 2011

MAT INDERA VS MAT SABU



Jika anda membuat carian dalam google tentang Mat Indera, anda akan dapati sejarah hidupnya yang pasti terus terkait dengan kejadian serangan di Bukit Kepong. Hubungan antara Mat Indera dan tragedy Bukit Kepong adalah satu hubungan yang tidak dapat dipisahkan kerana Peristiwa Berdarah Bukit Keponglah yang menjadikan namanya terpahat kukuh dalam lipatan sejarah yang berkisar tentang pertembungan dua ideologi iaitu Demokrasi dan Komunis. Semua rakyat di Malaysia cukup kenal dengan Peristiwa Bukit Kepong lantaran kisahnya sering dipertontonkan pada setiap kali berlangsungnya kemerdekaan Negara. Namun, setiap dari kita lebih mengenali tragedi berdarah Bukit Kepong berbanding Mat Indera itu sendiri. Kita mengenang tragedi Bukit Kepong dengan terkorbannya polis yang mempertahankan kubu mereka dari serangan pengganas Komunis. Kita menangisi kekejaman yang dilakukan oleh anggota-anggota PKM yang sanggup membunuh wanita dan kanak-kanak dan bertindak lebih kejam lagi dengan melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

Setelah 60 tahun berlalu, tiba-tiba ada pula seorang pemimpin parti Islam di Malaysia ini yang mendakwa Mat Indera dan Komunis yang menyerang Bukit Kepong sebagai pejuang sebenar, manakala pegawai polis yang terkorban dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong adalah pengganas sebenar dengan mendakwa mereka adalah tentera penjajah. Hujah yang diberikan sungguh dangkal…… adakah pemimpin ini melihat secara menyeluruh sejarah perjuangan di Tanah Melayu? Tahun kejadian berdarah bukit Kepong berlaku pada 23 Februari 1950, manakala Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sebelum itu, Tanah Melayu turut terheret dengan peperangan dunia kedua dengan pendudukan Jepun pada tahun 1941-1945. Selepas pengunduran pihak Jepun, PKM bermaharaja lela di bumi kita dengan niat mewujudkan sebuah negara komunis. Peranan orang Melayu dalam regimen Melayu PKM pula mempunyai hala tuju agak berbeza, namun kerana mereka memilih PKM sebagai alat mencapai matlamat mereka, secara tidak langsung mereka turut dikaitkan dengan kekejaman dan fahaman komunis. Inilah senario sebenar sejarah yang berlaku.

PKM tidak boleh dilabel sebagai pejuang tanah air kerana mempunyai matlamat mewujudkan sebuah negara komunis dan berpaksikan komunis di China. Hampir keseluruhan anggota PKM ialah orang Cina dan perjuangan mereka ialah menentang pihak Jepun yang jika dilihat sememangnya menjadikan orang Cina sebagai mangsa kerana dendam dan pembabitan ketika Perang Cina-Jepun. Peranan mereka boleh dilihat sebagai melawan demi membela diri sendiri.

Mat Indera, meskipun mempunyai ideology menentang penjajah dan membebaskan bangsa daripada penjajahan British, namun jalan yang dipilihnya adalah jalan yang salah. Mengikut fakta sejarah, sememangnya Mat Indera mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dengan tujuan untuk sekadar memberi amaran atau sekadar menakut-nakutkan polis dan bukannya sampai ke tahap membunuh anggota polis terbabit. Namun, tanpa disedari, beliau telah dikhinati oleh anggota-anggota cina yang bersama dengannya dan mereka telah berkomplot secara jahat untuk membunuh anggota-anggota polis yang terlibat. Akhirnya apa yang berlaku adalah satu tragedy yang begitu tragis. 25 anggota polis telah gugur shahid satu persatu. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru dan mereka akhirnya turut terkorban.


Akhirnya, tindakan cuba mengangkat martabat komunis sekali gus merendahkan peranan pasukan keselamatan yang masih di bawah pengaruh British adalah satu pandangan sempit yang bacul dan pengkhianat. Mat Sabu sewajarnya mengambil pengajaran dari kesilapan jalan perjuangan yang dipilih oleh Mat Indera!!


No comments:

BN

BN